Kelahiran anak di dalam sebuah  keluarga memang menceriakan dan mengembirakan. Sejajar dengan fitrah  manusia yang memiliki kasih sayang dan ingin disayangi, anak-anak adalah  pembawa kegembiraan. Namun pada hari ini ramai manusia hanya menumpukan  kepada kesejahteraan rumah tangga dan kejayaan anak-anak yang bersifat  duniawi. Hidup yang sementara memerlukan perancangan jangka panjang  dunia dan akhirat. Kerjaya, keluarga dan anak-anak perlu mempunyai  rancangan yang lebih jauh sehingga menjangkau dunia dan akhirat.  Anak-anak perlu dibangunkan bukan sekadar fizikalnya, mindanya malah  akidahnya. Jika pembangunan anak-anak diintegrasikan di dalam sistem  gerakan berjamaah, ianya lebih menarik, memudahkan dan meberangsangkan.
IKRAMkids, IKRAMteens, IKRAMyouth adalah diantara medan terbuka yang anak-anak boleh menceburinya bila besar nanti.
Namun, bagi yang baru merancang untuk menimang cahaya mata atau baru menimang cahaya mata, berikut adalah sedikit panduan:-
Menyambut Kelahiran Bayi
Kaedah  ini bertujuan memberitahu kepada suami akan beratnya kesakitan yang  dihadapi oleh isteri ketika hendak melahirkan anak dan menuntut suami  supaya sentiasa berada disamping isterinya agar beban kesakitan dapat  dikurangkan.
Kaedah ini juga bagi membimbing suami supaya dapat menyambut kelahiran anak mengikut cara yang digarispandukan oleh Islam.
Aktiviti :
1. Suami Berada Di Samping Isteri Ketika Saat-Saat Isteri Hendak Bersalin.
Alangkah  gelisah dan kritikalnya saat-saat akan melahirkan anak lebih-lebih lagi  bagi ibu yang pertama kalinya akan melahirkan anak. Suami perlu  memberikan motivasi kepada isteri agar tetap tabah dan sabar, di samping  suami harus banyak berdoa kepada Allah serta banyak beristighfar dan  berselawat disamping membanyakkan bacaan surah Al-Insyiqa' dan surah  Al-Hasyr.
Firman Allah Taal dalam surah Luqman ayat 14 :
Maksudnya  : "Dan Kami wajibkan menusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya;  ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan  (dari awal mengandung hingga ke akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan  susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah  kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah), kepada Akulah jua  tempat kembali (untuk menerima balasan).
2. Azan Di Telinga Kanan Dan Iqamah Di Telinga Kiri.
Suami  hendaklah segera mengazankan di telinga kanan anak yang baru lahir dan  diiqamahkan di telinga kiri dengan tujuan supaya dijauhi anaknya dari  gangguan syaitan dan supaya kalimah pertama yang dapat didengar oleh  bayi ialah kalimah Allah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari  Rafi' r.a. Rasulullah bersabda :
Maksudnya  : "Aku melihat sendiri Rasulullah s.a.w. mengazankan Al-Hassan bin Ali  pada telinganya ketika itu ia baru dilahirkan oleh Fatimah r.a." Riwayat  Abu Daud dan Tirmizi
3. Membaca Surah Al-Qadar dan Surah Al-Ikhlas.
Suami  hendaklah juga membanyakkan bacaan surah Al-Qadar di telinga kanan dan  surah Al-Ikhlas di telinga kiri bagi tujuan memohon kepada Allah supaya  anak yang dilahirkan terselamat dari melakukan perzinaan dan memohon  juga supaya dikuatkan iman, jauh dari menyeleweng fahaman akidahnya dari  landasan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.
4. Membaca Surah Al-Insyirah Di Jari Manis Dan Ditahnikkan.
Suami  juga hendaklah membaca surah Al-Insyirah di jari manis kemudian  mencelupkan jari manis ke dalam manisan (madu) dan ditekankan  (ditahnikkan) di langit-langit bayi tersebut dengan membaca ayat 36,  surah Ali-Imran :
Maksudnya :  "Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: Wahai Tuhanku!  Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang  aku harap-harapkan ialah anak lelaki), - dan Allah memang mengetahui  akan apa yang dilahirkannya itu - dan memanglah tidak sama anak lelaki  dengan anak perempuan dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan  aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat  keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan  disingkirkan)".
Tahnik adalah  bertujuan untuk memohon kepada Allah S.W.T. supaya anak yang dilahirkan  mempunyai lidah yang fasih dan terkawal lidahnya dari menyebut  perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mendatangkan maksiat walaupun  perkara ini boleh dilakukan oleh orang yang soleh namun bapa kepada anak  tersebut lebih utama melakukan tahnik untuk anaknya kerana hadis  riwayat oleh Tirmizi menyebutkan salah satu doa yang paling mustajab  ialah doa ibu bapa untuk anaknya".
5. Melaksanakan Tuntutan Sempena Hari Ketujuh.
Memberikan nama yang baik.
Bapa  dikehendaki menamakan anaknya dengan nama-nama yang baik pada hari  ketujuh kerana nama itu sendiri adalah merupakan doa kepada anaknya.
Rasulullah s.a.w. bersabda :
Maksudnya  : "Sesungguhnya kamu akan diseru pada hari kiamat dengan nama-nama kamu  dan nama-nama bapa kamu, maka indahkanlah nama kamu". Riwayat Abu Daud
Membaca Doa ketika memberikan nama anak.
Maksudnya  : "Ya Allah wahai Tuhan kami, jadikanlah nama yang diberikan ini  memberi keberkatan kepadanya, pandukan segala usahanya ke arah  keredhaanMu, jadikan menuntut ilmu sebagai matlamatnya dan akhirkan  hidupnya dengan amal-amal soleh. Ya Allah wahai tuhan kami, lanjutkanlah  usianya dalam ketaatan kepadaMu dan kepada RasulMu dan jadikan tubuh  badannya dalam keadaan sihat walafiat. Ya Allah, jadikan ia pemimpin  diwaktu dewasa, teguhkan imannya sepertimana iman para nabiMu sehingga  hari kiamat. Ya Allah kurniakan ia rezeki yang halal dan berkat,  dekatkanlah ia dengan kebaikan dan jauhkan ia daripada kejahatan dengan  rahmatMu Ya Allah yang Maha Pengasih.
Mengaqiqahkan anak.
Bapa  hendaklah mengaqiqahkan anaknya kerana hukumnya adalah sunat mu'akad  iaitu dengan mengadakna kenduri kesyukuran. Menyembelih 2 ekor kambing  bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan. Sebaik-baiknya  dilakukan pada hari ketujuh.
Rasulullah s.a.w. bersabda :
Maksudnya  : "Setiap anak yang dilahirkan tergadai dengan aqiqahnya yang  disembelih pada hari ke tujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur  rambutnya". Riwayat abu Daud
Ketika menyembelih aqiqah disuruh juga menyebut nama anak.
Maksudnya : "Dengan nama Allah, Ya Allah untukMu dan bagiMu akikah ini dari ......(sebut nama anak)....
Gesaan Aqiqah :
Rasulullah s.a.w. bersabda :
Maksudnya  : "Kerkakanlah aqiqah bagi anak lelaki yang baru lahir, kerana itu  hendaklah kamu menyembelih aqiqah dan jauhkanlah gangguan dari anak  itu".
Muttafaqun A'laih
Antara hikmah aqiqah adalah :
- Membiasakan berkorban bagi orang tua demi kepentingan bayi yang baru lahir di dunia. 
- Melindungi diri dari gangguan syaitan.
- Bercukur rambut.
Adalah  menjadi tanggungjawab bapa untuk mencukur rambut anaknya pada hari ke  tujuh (dibotakkan) sama ada dilakukan olehnya sendiri atau orang lain.
Antara hikmah bercukur rambut adalah :
- Hikmah kesihatan.
 -  Dengan membuang, mencukur rambut anak yang baru lahir akan terbuka  semua lubang rambutnya yang mungkin akan mengukuhkan pancaindera  penglihatan, pernafasan dan pendengaran.
-Hikmah kemasyarakatan.
Dapat  bersedekah dengan emas atau perak seberat timbangan rambutnya. Dalam  sebuah hadis yang diriwayatkan dari Anas bin Malik r.s. ia berkata:
Maksudnya  : "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menyuruh supaya mencukur rambut  cucunya Saidina Hassan dan Hussin r.a. pada hari ketujuh dan  disedekahkan berat timbangan rambutnya dengan nilai perak". Riwayat  At-Tirmizi dan Abu Daud
Khurafat yang perlu ditinggalkan.
-  Mencukur bahagian-bahagian tertentu daripada kepala sebagaimana yang  banyak dilakukan sekarang, kerana ini termasuk dalam perkara yang  dilarang keras oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana maksud hadis yang  diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.
-  Menggunakan buah kelapa dan segala macam campuran seperti garam dan  bunga kerana amalan ini diambil dari budaya Hindu. Rasulullah bersabda :
Maksudnya  : "Barangsiapa yang menyerupai (meniru apa sahaja perkara-perkara yang  bertentangan dengan syariat Islam) dengan sesuatu kaum (yang bukan  Islam) maka ia tergolong daripada mereka".
Mengkhatankan anak.
Bapa bertanggungjawab untuk mengkhatankan anak lelakinya. Dalam sebuah hadis disebutkan:
Maksudnya : "Berkhatan itu sunat bagi lelaki, mulia bagi wanita". Riwayat Abu Daud
Walaupun  demikian, amalan masyarakat kita mengkhatankan anak pada umur sebelas  tahun atau dua belas tahun tidaklah menyalahi syarak. Adalah menjadi  suatu yang baik sekiranya anak-anak sebelum dikhatankan terlebih dahulu  diaturkan majlis khatam Al-Quran untuknya.
Antara faedah berkhatan adalah :
- Melindungi daripada berbagai-bagai penyakit. Membersihkan diri dari kekotoran.
6. Menyusukan Anak.
Demi kesihatan anak, ibu hendaklah menyusukan anak dengan susu ibu.
Firman allah Taala dalam surah Al-Bawarah ayat 233:
Maksudnya  : "Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun  genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu".
Imam As-Syafie berkata
"Sihat atau tidak anak itu adalah bergantung sama ada anak disusui oleh susu ibu atau tidak walaupun sekali susuan".
Kelebihan menyusukan anak :
- Setiap tegukan dari susu ibu, Allah S.W.T. memberi pahala satu kebaikan.
Bila  ibunya semalaman tidak dapat tidur kerana menjaga anaknya yang sakit,  maka Allah S.W.T. memberi pahala seperti memerdekakan 70 hamba ke jalan  Allah.
7. Memelihara dan Mentarbiyah anak-anak
Mentarbiyah  keluarga dan anak-anak menjadi sangat sukar bagi mereka yang tidk  berada di dalam manhaj dakwah dan tarbiyah. Tetapi suatu yang mudah bagi  mereka yang berada di dalam gerakan Ialam yang istiqamah dan berencana  walaupun sesekali terpaksa berhadapan dnegan tekanan persekitaran yang  kompleks.
Mendidik  dan mentarbiyah keluarga adalah suatu kewajipan syar'ai dan lebih-lebih  lagi pada persekitaran hari ini. Tanggungkawab dan usaha-usaha tarbiyah  seharus bermula semenjak anak di dalam kandungan lagi dan berterusan  sehingga dewasa. Di dalam al-Quran Allah memerintahkan ketua keluarga  agar memelihara dirinya dan juga ahli keluarga (isteri dan anak-anak)  dari api neraka. Allah berfirman;
“Wahai  orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api  neraka yang bahan bakarnya terdiri dari manusia dan batu…”. (at-Tahrim:  6)
Dalam  menghuraikan maksud memelihara keluarga dari api neraka, Saidina Ali  berkata; yakni “kamu didiklah mereka serta ajarlah mereka”. Berkata Imam  Qatadah; ‘yakni kamu menyuruh mereka supaya mentaati Allah dan menegah  mereka dari memaksiatiNya serta kamu melaksanakan tanggungjawab kamu  terhadap mereka dengan agama Allah, kamu memerintahkan mereka dengannya  dan membantu mereka untuk melaksanakannya. Apabila kamu melihat mereka  melakukan maksiat, tegahlah mereka”. Menurut Imam Muqatil; “Menjadi  suatu kewajipan ke atas setiap lelaki muslim untuk mengajar ahli-ahli  keluarganya (isteri dan anak-anaknya) apa yang difardhukan Allah ke atas  mereka dan apa yang ditegah Allah dari mereka”. (Rujuk: Tafsir Ibu  Kathir)
Kelahiran  anak-anak yang soleh tidak mungkin terhasil jika tidak bersumber manhaj  Islam - iaitu AL-Qur'an dan Sunnah. Manhaj Islam perlu digali dan  dijadikan asas didalam kehidupan berkeluarga. Suburkan persekitaran  keluarga dengan kesuburan iman dan hindarkan jauh-jauh segala  unsur-unsur yang melalaikan, sia-sia serta merosakkan iman dan amal.  Bersyukurlah anak-anak yang ibu bapanya begitu perihatin dan tahu apakah  yag baik untuk dibawa masuk kerumahnya.
Rujukan & adaptasi dari: